3 OGOS : MyDigital ID, platform pengesahan dan pengurusan identiti yang dipercayai kendalian MyDigital ID Sdn Bhd, hari ini mengumumkan kaedah pendaftaran secara dalam talian melalui aplikasi mudah alihnya untuk semua rakyat Malaysia.
Menurut kenyataan MyDigital ID, rakyat Malaysia hanya perlu memuat turun aplikasi MyDigital ID melalui Google Play Store atau Apple App Store di telefon pintar mereka dan memulakan proses pendaftaran tanpa perlu ke mana-mana kios.
“Selepas mendaftar untuk MyDigital ID, rakyat Malaysia tidak perlu lagi log masuk ke platform berbeza dengan kata laluan berbeza dan hanya satu sistem pengesahan diperlukan untuk log masuk ke aplikasi atau portal.
“Selain itu, menerusi integrasi semasa MyDigital ID dengan MyJPJ, pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID tidak lagi perlu melakukan pengesahan biometrik lain di mana-mana kaunter JPJ,” katanya, lapor Bernama.
Kenyataan itu menyebut selain MyJPJ, sistem MyDigital ID kini telah diintegrasikan dengan beberapa aplikasi kerajaan seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Mudah Alih, MySejahtera dan portal MyGov dengan platform berkenaan turut menyaksikan lebih banyak integrasi dengan perkhidmatan kerajaan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd, Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, kaedah pendaftaran secara dalam talian itu adalah satu lagi kejayaan bagi syarikat itu dan negara ke arah mencapai penyelesaian identiti digital yang selama serta lancar.
“Apa yang membezakan MyDigital ID daripada sistem pendaftaran sedia ada ialah dengan memiliki sijil MyDigital ID akan melindungi pengguna daripada penipuan dalam talian dan kecurian identiti kerana sijil digital diletakkan pada peranti peribadi pengguna apabila rujukan pendaftaran berjaya ke pangkalan data yang dipercayai oleh kerajaan,” katanya.
MyDigital ID turut menekankan bahawa syarikat itu tidak menyimpan sebarang data biometrik penggunanya serta mengumpul, memantau atau menyimpan data peribadi dan pada masa sama memastikan bahawa pengguna tidak memiliki lebih daripada satu identiti digital sebagai langkah keselamatan.
“Sistem MyDigital ID akan digunakan bagi mengesahkan identiti pengguna untuk log masuk ke platform serta transaksi kerajaan, dan data tidak akan dikumpul.
“Sistem itu akan hanya membandingkan maklumat yang terkandung dalam MyKad dan cap jari pengguna dengan data sedia ada yang disimpan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa proses pendaftaran,” katanya.
Pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November tahun lepas, MyDigital ID diiktiraf di peringkat nasional sebagai bentuk pengurusan pengenalan digital yang dipercayai, menyediakan pengesahan yang selamat untuk transaksi dalam talian dan menangani kelemahan yang terdapat dalam sistem pengesahan identiti secara dalam talian sedia ada.
Selepas itu, kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 200 cawangan JPN, lapan cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional serta 357 cawangan Tealive di seluruh negara dan setakat ini, lebih 600,000 orang telah mendaftar dengan MyDigital ID.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyDigital ID, sila layari www.digital-id.my.