12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menafikan kerajaan akan melakukan rombakan jemaah menteri tidak lama lagi.
Anwar berkata, beliau tidak mengetahui dan mendengar sama sekali berhubung perancangan rombakan Kabinet itu.
“Itulah, (saya) baru sahaja diberitahu. Saya tak dengar lagi…siapa yang nak tolong rombak (Kabinet)? Ini serius ni. Saya belum lagi mendengar mengenainya,” katanya, lapor Bernam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.
Anwar mengulas mengenai dakwaan sebuah portal berita hari ini yang melaporkan kemungkinan rombakan Kabinet akan berlaku sekali lagi, kurang setahun selepas rombakan terakhir kepimpinan kerajaan.
Ditanya sama ada seorang menteri besar akan dilantik mengisi Kabinet menteri nanti seperti yang dilaporkan portal tersebut, beliau berkata perkara itu mungkin berlaku selepas pilihan raya umum (PRU).
“Lepas pilihan raya, Insya-ALLAH,” katanya.
Kali terakhir jemaah menteri dirombak pada Disember tahun lalu dan dibesarkan daripada 29 menteri kepada 31 menteri.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim