22 OGOS : Siasatan mendapati nahas helikopter yang mengorbankan bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi pada Mei lalu dilaporkan berpunca keadaan cuaca dan ketidakupayaan menampung berat dibawa.
Agensi berita Iran, Fars yang memetik sumber keselamatan tidak dinamakan berkaitan keputusan akhir siasatan itu.
Sebelum ini, laporan awal oleh tentera Iran memaklumkan tiada bukti sabotaj atau serangan ditemui.
“Siasatan dalam kes nahas helikopter Raisi sudah selesai. Ada kepastian sepenuhnya bahawa apa yang berlaku disebabkan kemalangan,” lapor Fars.
Menurut sumber itu, hasil siasatan menunjukkan helikopter berkenaan membawa lebih dua individu daripada kapasiti yang ditentukan oleh protokol keselamatan.
Pada 19 Mei lalu, helikopter yang membawa Raisi bersama sejumlah pegawai kanan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan dilaporkan terhempas di barat laut Iran ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan.
Laporan itu mengesahkan Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian; Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati; Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem dan beberapa pegawai lagi dipercayai turut berada dalam helikopter berkenaan.