29 OGOS : Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah meminta dirinya dibebaskan daripada semua kes yang dihadapi di mahkamah.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa Najib hanya mahu perbicaraan yang adil kerana menghormati mahkamah.
“Ramai orang luar tidak tahu bahawa Najib jumpa saya (ketika jadi perdana menteri) tidak minta dibebaskan. Dia hormat kepada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program audio siar, Keluar Sekejap (KS) pada Rabu yang dikendalikan bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan.
Jelas Ismail, pertuduhan dihadapi Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu di luar bidang kuasanya.
“Kalau mahkamah kita boleh masuk campur, bagaimana persepsi luar? Kononnya mahkamah kita boleh disusun jadi tak ada siapa akan datang melabur di negara kita.
“Pelabur kalau ditipu ke mana mereka nak hadapkan (pesalah), sebab mahkamah Malaysia tidak boleh pakai. Kita bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), kalau mahkamah dikawal oleh kerajaan tak ada siapa akan percaya kepada kita.
“Bagi saya dengan Najib, kita bagi perbicaraan yang adil. Orang kata saya masukkan dia dalam penjara, tak betul itu keputusan Mahkamah Tinggi yang menentukan.
“Fakta kes, kenyataan saksi semua orang dah baca, sukar untuk ganggu di mahkamah. Mereka bahkan minta tukar hakim dan peguam negara, jelas gambarkan UMNO salah guna kuasa. Mereka tikam saya depan-depan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail mendakwa sokongan UMNO terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilihatnya semakin kuat sehingga kini.
Justeru beliau menyarankan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othmah Said bertindak supaya Najib mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kalau (kes) di mahkamah dari Mahkamah Tinggi hingga peringkat seterusnya ada sembilan hakim. Tak mudah.
“Saya harap boleh buat sesuatu, saya juga harap kepimpinan terutama Azalina yang satu ketika dahulu begitu garang, menghadap merayu kepada Agong,” katanya lagi.