30 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjamin ibu kota Kuala Lumpur masih selamat untuk dikunjungi pelancong.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan mahu oun struktur tanah Kuala Lumpur.
Menurutnya, kajian teknikal di kawasan insiden tanah jerlus sudah dijalankan.
“Tak ada masalah, cuma kawasan yang dianggap perlu diperkukuh itu kita buat segera.
“DBKL dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan teliti setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Masjid Kubang Semang di Permatang Pauh, hari ini.
Beliau ditanya soal kebimbangan orang ramai terutama pelancong berkait keselamatan Kuala Lumpur susulan kejadian tanah jerlus dan mendapan tanah di sekitar Jalan Masjid India, baru-baru ini.
Pada 23 Ogos lalu, kejadian tanah jerlus dilaporkan berlaku di Jalan Masjid India yang menyebabkan seorang wanita terjatuh dan masih belum ditemui hingga hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48 memasuki hari kelapan, hari ini.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim