12 SEPT : UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah bersetuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, tidak lama lagi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesepakatan itu dicapai bersama dengan BN Sabah yang diketuai Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Keputusan menjalin kerjasama antara BN Sabah dan PH ini menjadi keputusan bersama antara UMNO Sabah dan UMNO pusat kerana kaedah terbaik adalah bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya dan pada masa sama kita lanjutkan di Sabah.
“Namun parti-parti lain masih terbuka untuk menjalin kerjasama dengan kami. Kita juga harap tidak ada parti di Sabah yang menyebutkan ‘ini adalah parti Malaya atau pun parti peringkat kebangsaan dan tidak perlu masuk ke Sabah’.
“Kita sebuah negara demokrasi maka tidak ada parti tempatan atau parti Semenanjung. Maka seharusnya tidak ada kenyataan dikeluarkan yang menyinggung mana-mana perasaan walaupun parti itu berhajat semula untuk menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada akhir lawatannya ke China di Shanghai, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata kerjasama UMNo dengan BN Sabah itu tertumpu kepada PRN Sabah.
“Kita mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah PRN Sabah dulu dan jika ‘template’ dan acuan ini berjaya, tentunya kita akan kaji pelaksanaan di peringkat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Tetapi keserasian antara BN dan PH 2.0 sudah terbukti baik termasuk dokongan daripada rakan GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan parti lain termasuk Ahli Parlimen Bebas.
“Kita lihat nanti bagaimana, yang penting kestabilan politik dapat terus dipertahankan di Malaysia,” katanya.
Terdahulu Bung Moktar dilaporkan berkata pihaknya akan memperhalusi kerjasama BN Sabah dengan PH.