12 SEPT : Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata masyarakat boleh berbeza pandangan mengenai pensijilan halal di premis makanan namun perlu beradab ketika mengutarakan pendapat mereka.
Beliau berkata masyarakat, tanpa mengira agama atau bangsa, perlu berjiwa besar dalam menekuni setiap isu yang dibangkitkan bagi memelihara kestabilan politik serta keamanan dan kedamaian negara.
“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita sentiasa tekankan adab berbeza pandangan…kita boleh berbeza pandangan namun begitu, kita kena menghormati perbezaan itu.
“Dalam erti kata lain…kami ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berjiwa besar untuk menerima kepelbagaian pandangan,” katanya, lapor Bernama.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Perkhemahan Perdana Pasukan Badan Beruniform Briged Bakti Malaysia Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu di Melaka, hari ini.
Mengulas cadangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad supaya ahli politik duduk semeja bagi membincangkan perkara itu, beliau berkata ia sering dilakukan dari semasa ke semasa dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Bukan itu sahaja, kita juga terima banyak cadangan lain dan sesi libat urus kita bukan hanya melibatkan orang politik malah pemain industri dan badan bukan kerajaan,” katanya.
Semalam, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar membentangkan laporan mengenai isu itu dan langkah seterusnya pada Mesyuarat Kabinet akan datang.
Pada 6 September lepas, Mohd Na’im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang mempertimbang cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran serta syarikat makanan yang tidak menyajikan hidangan daging babi dan alkohol.
Isu itu mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata pelaksanaan pensijilan halal sepatutnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukannya secara paksa.