Halal bukan sekadar tiada babi, alkohol
17 SEPT : Halal bukan sekadar merujuk kepada makanan atau minuman yang bebas daripada kandungan babi mahu pun alkohol.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata definisi halal kini sudah berkembang melangkaui perkara haram dalam kalangan umat Islam itu.
“Ini adalah peluang bagi kita untuk menjelaskan, kerana pada asalnya, pemahaman tradisional mengenai halal adalah tiada babi. Dahulu, kita meminta hidangan halal. Pada masa itu, halal bermaksud tiada babi atau tiada alkohol.
“Namun, halal dalam pemahaman dan konteks kita sekarang, seperti yang anda dapat lihat dalam pameran hebat ini, adalah satu cara untuk memahami dan ia membawa makna kesihatan, serta penggunaan bahan-bahan yang paling canggih untuk mengelakkan produk yang berbahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2024, hari ini.
Dalam ucapan sama Anwar berkata, produk halal kini boleh bersaing di peringkat global susulan piawaian ketat yang perlu dilalui untuk mendapatkan pensijilan halal.
Katanya, pematuhan piawaian halal memberi manfaat bukan sahaja kepada umat Islam namun kepada semua agama.
“Apabila kita bercakap tentang halal, kita tidak membincangkannya semata-mata dari perspektif Islam. Ia melayani kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa diskriminasi.
“Dalam pameran ini, anda boleh melihat umat Islam, Kristian, Hindu dan Buddha semuanya mengambil bahagian sebagai rakyat Malaysia, bekerjasama untuk memastikan kejayaan industri halal, katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata nilai eksport halal negara disasarkan RM75 bilion atau 11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.
Menurutnya, eksport halal tahun lalu sebanyak RM55 bilion, memainkan peranan penting memacu pertumbuhan ekonomi negara di mana makanan dan minuman halal menyumbang RM29.4 bilion daripada jumlah itu.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim