30 SEPT : Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke Nepal susulan banjir dan tanah runtuh akibat hujan berterusan yang menjejaskan rangkaian sistem perhubungan di negara itu.
Kuasa Usaha, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal, Mohd Firdaus Azman berkata hujan yang berterusan sejak 26 September menyebabkan banyak lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara ditenggelami air serta terputus hubungan.
Jabatan Hidrologi dan Meteorologi Nepal turut memberi amaran bahawa hujan dijangka berterusan mulai esok sehingga Jumaat ini.
“Bagi mereka yang bercadang untuk melawat Nepal dalam masa terdekat, kita nasihatkan agar menangguhkan perjalanan buat sementara kerana kesemua laluan keluar Kathmandu terputus buat masa ini.
“Sekiranya mereka tiba di Kathmandu, mereka akan terkandas dan tidak boleh ke mana-mana berikutan jalan terputus hubungan. Selain itu, paras air masih tinggi dan jambatan-jambatan yang menghubungkan Kathmandu juga musnah sama sekali.
“Sehubungan itu, semua dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke Nepal buat masa ini sehingga pihak berkuasa menyatakan ia selamat dan laluan serta lebuh raya dibaik pulih,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di Nepal supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan menghubungi pihak kedutaan sekiranya berlaku kecemasan.
Sementara itu, harga makanan di Kathmandu dilaporkan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda susulan cuaca buruk yang melanda.
“Berikutan kawasan pertanian terjejas, bekalan makanan terputus dan sistem pengangkutan terjejas akibat banjir serta tanah runtuh, harga makanan di sini dilaporkan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda. Harga sayur-sayuran pula meningkat lima kali ganda,” katanya.
Firdaus turut memaklumkan bahawa seramai 25 rakyat Malaysia terjejas akibat banjir dan tanah runtuh setakat ini.
“Kebanyakan mereka dalam perjalanan pulang dari Pokhara ke Kathmandu. Dengan bantuan ejen tempatan dan kedutaan, mereka yang terjejas telah selamat tiba di Kathmandu pada Ahad,” katanya.
Firdaus turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa kumpulan yang baru sahaja memulakan pendakian di Nepal.
“Setakat ini, pihak kedutaan belum menerima sebarang makluman kecemasan.
“Pihak kedutaan akan terus memantau perkembangan terkini di Kathmandu dan memaklumkan perkembangan semasa di media sosial,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dinasihatkan menghubungi Kedutaan Malaysia di Nepal melalui nombor telefon +977-9801008000.
Menurut laporan Xinhua, jumlah kematian akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan berterusan di Nepal mencecah 192 orang setakat pagi Isnin.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal, Rishiram Tiwari, berkata 30 orang masih hilang manakala 194 lagi cedera.