11 OKT : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Ahli Parlimen (MP) BN untuk memainkan peranan mereka dengan berkesan pada sidang Parlimen kali ini yang bermula 14 Oktober dengan membawa suara serta kepentingan rakyat secara bertanggungjawab.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pre-council BN semalam, sebagai persediaan menghadapi Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Sidang Parlimen ke-15.
“Kestabilan politik adalah kunci kepada pembangunan negara dan kita perlu komited untuk terus mendukung usaha ini demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya.
Ahmad Zahid berkata, pada pertemuan itu, beliau dan wakil rakyat BN telah mendengar pembentangan daripada Menteri dan Timbalan Menteri BN, mengenai isu-isu yang akan dibincangkan dalam sidang Parlimen kali ini.
Pada sidang Parlimen kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan Madani 2025 pada 18 Oktober, lapor Bernama.