OIC kutuk Israel haram operasi UNRWA di Baitulmaqdis Timur
29 OKT : Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras keputusan Knesset Israel yang meluluskan rang undang-undang untuk melarang operasi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur yang diduduki serta menarik balik keistimewaan dan kekebalan agensi itu.
Langkah itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Israel untuk menghapuskan isu pelarian Palestin dan menafikan hak mereka untuk kembali.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan OIC memberi amaran tentang langkah iniakan memberi kesan serius terhadap keupayaan agensi itu untuk menyediakan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin.
OIC menegaskan bahawa serangan berterusan Israel terhadap kemudahan, kakitangan, dan orang yang dipindahkan tidak akan melemahkan mandat antarabangsa UNRWA yang berasaskan resolusi Perhimpunan Agung PBB.
OIC turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB agar menunaikan tanggungjawabnya untuk melindungi UNRWA dan memastikan agensi itu terus menyediakan perkhidmatan penting kepada jutaan pelarian Palestin.
OIC juga menggesa masyarakat antarabangsa menyokong penyelesaian adil dan dipersetujui berhubung isu pelarian Palestin, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan, lapor Bernama.