6 MEI: Meskipun Perikatan Nasional (PN) baru sahaja memerintah hampir 3 bulan, namun penyampaian maklumat kepada rakyat cukup jelas berbanding dengan PH yang sebelum ini memerintah selama 22 bulan.
Malah menurut Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Salawati Mat Basir, rakyat turut memperlihat daya usaha kerajaan hari ini yang bertungkus lumus untuk mengimbangi ekonomi negara dengan nyawa manusia susulan penularan wabak Covid-19 ini.
Dengan langkah dan kebijaksanaan yang dilakukan, maka tiada sebab untuk Bersatu untuk menyertai semula PH demi kelangsungan survival parti dalam dunia politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Memang mereka baru, belum terbukti apa pun lagi, dalam pemerintahan hari ini, ada Menteri yang bagus dan ada Menteri yang masih baru lagi. Cuma kekuatan yang ada hanyalah kita ada menteri yang mempunyai pengalaman dalam memberi maklumat kepada rakyat secara jelas. Pengalaman daripada Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin antara yang boleh membantu Menteri lain.
“Ia tidak sama seperti zaman PH yang tidak mempunyai WhatsApp group, sentiasa pening dalam membuat keputusan, kunjung mengunjung antara kementerian dengan kementerian lain. Ini tidak berapa bagus, kerana yang ingin kita lihat adalah penambahbaikan untuk rakyat dan negara.
“Jadi pada saya, usahlah berpolitik dengan cara ke belakang, maju sahaja dengan pemerintah yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik sekiranya Bersatu ingin menyertai semula PH.
Jelas Anwar, bagaimanapun Bersatu perlu patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori PH.
Bagaimanapun jelas Salawati lagi, setiap kementerian haruslah mempunyai komitmen yang tinggi dalam menonjolkan portfolio masing-masing sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat.
“Pemerintahan sekarang mula diterima rakyat dengan baik. Kita semua nampak kerajaan cuba membangunkan semula ekonomi negara yang agak ‘rosak’ sedikit sewaktu PH memerintah dulu. Diletaknya Tony Pua dalam kementerian kewangan, tapi ekonomi negara tetap berada dalam keadaan membimbangkan.
“Malah menjadi lebih kritikal apabila orang ramai digesa untuk ternak ikan, tanam buluh, ia lebih teruk dari apa yang dinyatakan Ahmad Maslan dulu,” ujarnya dengan membuat perbanding secara jelas antara PH dan PN sebagai pemerintah hari ini.
Jelas Salawati kenyataan beliau itu tidaklah cenderung kepada mana-mana pihak, namun secara jelas orang ramai mampu menilai dan membuat perbandingan seperti itu.
“Saya menjangkakan kerajaan hari ini akan menjadi kerajaan lebih baik selepas PH dulu, kerana keseimbangan dari orang lama dan baru yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu akan menjadikan negara lebih baik,” ujarnya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR