30 OKT : Pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) boleh membuat permohonan baucar buku fasa kedua bernilai RM100 bermula hari ini hingga 31 Disember.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi perkongsian di Facebook, memaklumkan permohonan itu dibuka mulai 10 pagi.
“Berita baik untuk semua pelajar IPT, anda layak untuk menebus baucar buku di laman MySISWAPLACE,” menurut hantaran itu, lapor Bernama.
Isnin lalu, KPT memaklumkan, fasa kedua inisiatif itu akan memanfaatkan lebih sejuta pelajar.
Penyaluran baucar akan dilaksanakan melalui pelantar digital kepada pelajar IPT yang berdaftar di bawah KPT dan berstatus aktif hingga 31 Mac 2024.
Kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal MySISWAPLACE menerusi pautan https:/mysiswaplace.my bermula 30 Oktober.
Portal MySISWAPLACE bawah kendalian Yayasan Perkasa Siswa, agensi rasmi di bawah KPT untuk memudahkan urusan pelajar menggunakannya sepanjang inisiatif berkenaan.