1 NOV : Korea Utara berikrar untuk terus memberi sokongan kepada Rusia sehingga negara itu mencapai kemenangan terhadap Ukraine.
Perkara itu disuarakanMenteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov di Moscow, lapor AFP.
“Kami ulangi bahawa kami akan sentiasa berdiri teguh bersama rakan seperjuangan Rusia sehingga hari kemenangan.
“Kami tidak ragu-ragu bahawa di bawah kepimpinan Presiden Rusia, Vladimir Putin tentera dan rakyat Rusia pasti akan mencapai kemenangan besar dalam perjuangan mereka untuk mempertahankan hak kedaulatan dan keselamatan negara mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Lavrov menyampaikan penghargaan Rusia kepada Korea Utara atas pendirian berprinsip itu dan turut memuji hubungan erat antara angkatan tentera serta khidmat khas antara kedua-dua negara.
“Hubungan sangat rapat terjalin antara tentera dan khidmat khas kedua-dua negara ini.
“Perjanjian pertahanan ditandatangani sebelum ini juga membolehkan kami mencapai matlamat keselamatan penting untuk seluruh rakyat kami,” katanya.
Kedua-dua Menteri Luar itu sebelum ini merasmikan majlis peringatan untuk menghormati lawatan pemimpin Korea Utara, Kim Il-Sung ke Russia pada tahun 1949.
Terdahulu, Amerika Syarikat mendakwa seramai 8,000 tentera Korea Utara kini sedang menjalani latihan di Rusia dan mungkin akan dikerahkan untuk berperang di Ukraine.