4 NOV : Enam individu termasuk penyanyi dikir barat yang ditahan di Golok, Thailand, Jumaat lalu disahkan positif dadah jenis methampetamine.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan lanjut kes itu diserahkan kepada polis Thailand.
Menurutnya, dua individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau memiliki dadah di Kelantan.
“Kita serahkan kepada polis Thailand untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.
Mohd Yusoff tidak dapat mengulas lanjut tentang kemungkinan mereka terlibat aktiviti pengedaran dadah.
“Namun secara logik takkan 6,000 biji pil kuda untuk milikan atau makan sendiri? Namun saya tidak dapat sahkan sama ada mereka terbabit dengan pengedaran atau sebaliknya.
“Bagaimanapun hasil ujian air kencing terhadap kesemua mereka adalah positif methamphetamine,” katanya.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat, pagi tadi.
Sebelum ini, enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita Kelantan dilaporkan ditangkap di sebuah hotel di Sungai Golok kerana memiliki 6,000 pil kuda,
Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan berusia 25 hingga 32 tahun pada jam 6 pagi (waktu Malaysia) Jumaat lalu, di sebuah bilik selepas selesai berhibur.