5 NOV : Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengundi untuk menaik taraf status Palestin secara rasmi daripada ‘gerakan pembebasan’ kepada ‘negara pemerhati bukan anggota’, menurut laporan agensi berita Palestin, WAFA.
Keputusan itu dicapai semasa Persidangan Agung Lembaga Pengarah ILO yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Persekutuan Kesatuan Sekerja Palestin (PGFTU), Shaher Saad bersama wakil-wakil kesatuan Arab dan antarabangsa.
Resolusi akhir persidangan, iaitu Resolusi 352 mengesahkan penerimaan Palestin oleh Lembaga Pengarah ILO.
Saad menjelaskan bahawa keputusan ini akan disahkan secara rasmi pada Persidangan Buruh Antarabangsa pada Jun 2025, satu langkah yang akan membolehkan Palestin menyertai sepenuhnya semua struktur ILO dan membuka laluan ke arah keanggotaan secara menyeluruh.
Keputusan itu mendapat sokongan meluas dalam persidangan terbabit, dengan tentangan hanya disuarakan oleh Israel.
Buat kali pertama, Palestin akan menyertai persidangan ILO 2025 dengan delegasi rasmi tiga pihak yang mewakili kerajaan, pekerja, dan majikan, menandakan penglibatan sepenuhnya dalam organisasi itu.
Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) menyambut baik keputusan Lembaga ILO ini, dengan Setiausaha Agung ITUC, Luca Visentini menyifatkan pengiktirafan itu sebagai ‘tanda harapan dan solidariti’ dengan rakyat Palestin yang menghadapi cabaran besar terhadap hak asasi manusia dan buruh.
Visentini juga berkata bahawa pengiktirafan negara Palestin adalah penting untuk mencapai keamanan yang berkekalan, lapor Bernama.