5 NOV : Kerajaan sedang mempertimbang mekanisme Mykad atau e-dompet sebagai platform menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat yang layak.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata masih belum ada sebarang ketetapan diambil setakat ini.
“Seperti mana yang dimasukkan dalam Belanjawan 2025. Kita harap kita dapat menyasarkan semula subsidi RON95 dengan menggunakan MyKad atau e-dompet.
“Ini akan menyenangkan untuk menentukan mereka yang layak menerima dan mencatu mereka yang tidak layak mendapat (subsidi RON95) agar penjimatan dapat digunakan untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara.
“Ia meliputi dari segi mengurangkan hutang yang baharu dijana atau untuk meningkatkan lagi penggunaan (untuk bantuan kepada) hospital, sekolah dan sebagainya. Itulah matlamat kita,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang mahukan penjelasan mengenai takrifan T15 serta kaedah proses pengambilan data untuk menentukan individu layak atau sebaliknya mendapat subsidi khususnya RON95.
Dalam pada itu, Amir Hamzah sempat menegaskan, 85 peratus rakyat di negara ini tidak terkesan dengan pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 mulai pertengahan tahun depan itu.
Ketika pembentangangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan cadangan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, warga asing dan 15 peratus kumpulan teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.