6 NOV : Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 menunjukkan Donald Trump sekali lagi ke Rumah Putih sebagai Presiden menewaskan pencabarnya, Kamala Harris.
Trump dari parti Republikan itu dilaporkan menang 280 undi elektoral berbanding 226 diperoleh calon Demokrat, Harris.
Mengikut sistem Kolej Elektoral, majoriti diperlukan untuk memenangi jawatan Presiden AS ialah 270 undi elektoral.
Trump, 78 menguasai negeri termasuk Pennsylvania, Carolina Utara, Georgia dan Wisconsin.
Laporan Agensi menyebut parti Republikan itu turut menguasai Senat sekali gus menafikan majoriti tipis Demokrat sebelum ini.
Trump muncul di hadapan penyokongnya bagi menyampaikan berita gembira itu sambil menyampaikan ucapan kemenangan penuh bersemangat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika atas penghormatan luar biasa dipilih sebagai Presiden ke-47 dan Presiden ke-45 (pilihan raya 2016) anda.
“Ini adalah kemenangan hebat untuk rakyat Amerika yang akan membolehkan kita menjadikan Amerika hebat semula,” katanya.
Pemimpin dunia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Trump atas kemenangan itu termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, pemimpin negara dari Korea Selatan, Perancis, Turkiye, Jerman, Filipina, Mesir, India, Britain, Itali, Pakistan dan Sepanyol turut menyampaikan ucapan tahniah.