7 NOV : Tertuduh kes menekap seterika pada dada seorang pelatih di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimana pun pegawai kadet senior Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Amirul Iskandar Norhanizan, 22 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20 menggunakan seterika wap panas di sebuah bilik asrama Blok Kasturi, ALK UPNM Kem Sungai Besi pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin diberikan selain tidak mendekati saksi-saksi.
“Mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua (second degree burns) pada bahagian kanan dada.
“Selain itu, perbicaraan kes ini bakal membabitkan saksi rakan seasrama, jurulatih dan kes berkepentingan awam akan menjadi panduan kepada pelajar lain iaitu kesalahan membuli, bukan sahaja hukuman tetapi ikat jamin juga tinggi supaya peruntukan undang-undang ini tidak dipandang rendah sebagai peruntukan kesalahan ‘non bailable offence’,” katanya.
Sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin minimum susulan kedua ibu bapanya pesara kerajaan.
“Saya juga masih belajar serta berjanji, dalam setiap perbicaraan kes, saya akan hadir ke mahkamah,” katanya.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, polis merakam keterangan 16 individu termasuk mangsa, suspek, penuntut dan kakitangan UPNM bagi membantu siasatan.
Pada 22 Oktober lalu, seorang pegawai kadet UPNM ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya, di bilik asrama universiti berkenaan.