12 NOV : Tiada perlindungan akan diberi kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah termasuk mana-mana individu yang mahu menjadi pemberi maklumat bagi membongkar rasuah tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran agar tiada yang menggunakan jawatan perdana menteri untuk mendapatkan perlindungan.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasata mana-mana kes rasuah termasuk membabitkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta wang sebagai balasan menyokong kelulusan projek.
“Jangan gunakan jawatan Perdana Menteri untuk dapatkan perlindungan kepada sesiapa (bagi kes rasuah) kerana saya tidak akan buat begitu…Saya tak akan bagi jaminan itu.
“Dasar Kerajaan MADANI adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang tidak terbabit langsung dalam kes rasuah.
“Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat…bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada akhir lawatan rasmi di Mesir, hari ini.
Terdahulu dilaporkan lapan video aktiviti rasuah yang menunjukkan perbincangan antara seorang ahli perniagaan dan seorang ADUN untuk mendapatkan lesen projek.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat kes video beberapa ADUN membincangkan rasuah sudah bertemu pegawainya 30 Oktober lalu.
Pemberi maklumat kes tersebut didakwa menghantar surat rasmi kepada perdana menteri meminta perlindungan sebelum membuat laporan kepada SPRM.
Sementara itu, Anwar menjelaskan setakat ini beliau masih belum menerima sebarang surat daripada mana-mana pihak berkait perlindungan tersebut.
“Jika saya dapat surat (minta perlindungan itu), saya akan serah terus kepada SPRM…ambil surat itu dan teliti sepenuhnya untuk tindakan lanjut,” katanya.