13 NOV : Ahli Parlimen diingatkan agar tidak membawa mana-mana khabar angin sebagai bahan perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau mengingatkan perkara itu pada sesi Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) membangkitkan Peraturan 36 (6) iaitu sangkaan jahat susulan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) membawa ‘cakap-cakap luar’ ketika berbahas.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu mendakwa ‘cakap-cakap luar’ yang berlegar menyebut pelantikan Peguam Negara yang baharu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai tindakan membalas budi.
Mas Ermieyati ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa berkata dakwaan itu susulan Mohd Dusuki sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Katanya, Mohd Dusuki terlibat dalam memberi hujah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
“Pelantikan Peguam Negara ini menjadi cakap-cakap di luar sana apabila beliau sebelum ini merupakan yang terlibat dalam memberi 11 hujah untuk DNAA Bagan Datuk. Adakah disebabkan budi yang diberikan oleh beliau (Mohd Dusuki), beliau dapat (jawatan)…ini cakap-cakap orang ya.
“…kita perlu bersihkan ini supaya tidak ada lagi persepsi negatif terhadap cabang perundangan negara kita,” katanya.
Sebaik Mas Emieyati duduk, Mohd Shahar yang juga Pengerusi Backenchers Club membangkitkan peraturan tersebut.
“Saya menghormati Masjid Tanah tapi bagi saya pandangan Masjid Tanah menuduh Bagan Datuk adalah sangkaan jahat. Saya perlukan petua daripada timbalan pengerusi,” katanya.
Mas Ermieyati kemudiannya mencelah sambil menegaskan perkara itu cakap-cakap luar yang didengar.
Dalam pada itu, Alice meminta Mohd Shahar membuat usul dalam perkara terbabit.
“Saya cadangkan Paya Besar buat usul, boleh hantar ke pejabat Speaker…Saya menasihatkan semua jangan bawa apa-apa hearsay (khabar angin) di luar dan masuk ke dalam Dewan ini. Kita tunggu menteri jawab,” katanya.