18 NOV : Bangladesh akan meminta India untuk mengekstradisi bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang hidup dalam buangan sejak Ogos selepas melarikan diri daripada pemberontakan yang dipimpin pelajar, kata ketua kerajaan sementara negara itu pada Ahad.
Menurut Agensi Anadolu, Muhammad Yunus membuat kenyataan itu dalam ucapan televisyen kepada rakyat sempena 100 hari beliau mentadbir kerajaan dengan menyatakan pentadbirannya komited untuk memastikan mereka yang bersalah kerana menghalang protes untuk menggulingkan Hasina akan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kami akan memastikan keadilan untuk setiap pembunuhan (melalui perbicaraan). Inisiatif yang kami ambil untuk memastikan keadilan bagi pembunuhan pada Julai-Ogos juga berjalan dengan amat baik. Kami juga akan menuntut diktator yang telah dijatuhkan, Sheikh Hasina di bawa kembali ke Bangladesh dari India,” kata Yunus.
India dan Bangladesh mempunyai perjanjian ekstradisi dua hala.
Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos berikutan protes besar-besaran pada Julai dan Ogos.
Selepas Hasina melarikan diri, Yunus pemenang Hadiah Nobel, mengambil alih jawatan pada 8 Ogos.
Semasa protes itu sekitar 1,500 orang terkorban, kata Yunus dalam ucapannya.
“Kerajaan sedang mengumpul maklumat mengenai setiap kematian dengan teliti. Seramai 19,931 orang cedera dalam pemberontakan ini,” tambahnya.
Tribunal Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Dhaka mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasina dan 45 individu lain, termasuk pembantu rapatnya, atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan ketika protes berlangsung.
Sebelum ini, tribunal meminta Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah untuk menangkap Hasina.
Tribunal mengemukakan lebih 60 aduan terhadap Hasina, parti Liga Awami, anggota kabinetnya serta beberapa bekas pegawai kanan penguat kuasa undang-undang dengan menuduh mereka terlibat dengan kes kehilangan dirancang, pembunuhan bahkan genosid.
Yunus berkata, kerajaan sementara itu menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat semua kehilangan dirancang semasa pemerintahan lepas.
Beliau berkata, setakat Oktober tahun ini, pihak berkuasa telah menerima laporan mengenai 1,600 kes kehilangan secara paksa, dan jumlah itu dijangka melebihi 3,500.
Memandangkan permintaan daripada parti politik bagi pilihan raya umum diadakan semakin meningkat, Yunus berkata, sebaik sahaja keputusan mengenai pembaharuan pilihan raya dibuat, pelan hala tuju pilihan raya juga akan diumumkan.
“Kereta api pilihan raya telah memulakan perjalanannya; ia tidak akan berhenti. Tetapi kami perlu menyelesaikan banyak tugas sepanjang perjalanan,” katanya, lapor Bernama.