19 NOV : Kerajaan akan menyiasat dakwaan kononnya ada murid dan pelajar warganegara Thailand yang merentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Malaysia setiap hari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata angka pelajar yang menggunakan laluan sungai itu dilaporkan sangat ramai.
“Kalau anak-anak ini adalah warga Malaysia, sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu dari segi keselamatan mereka untuk menyeberangi sungai itu.
“Tapi kita akan siasat dan ambil maklum mengenai perkara ini kerana bilangan (pelajar yang merentasi sungai) yang didakwa itu sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pembukaan kedai buku MPH Bookstores di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, akhbar tempatan hari ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.
Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata polis akan menahan sesiapa yang merentas sempadan Malaysia-Thailand menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember ini.
Katanya, polis akan menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.