19 NOV : Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape ketika itu, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.
“Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkan tetapi jika tidak boleh diharamkan, kita perlu mengawal selia. Kerajaan Perpaduan tetap berpendirian kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024 di Putrajaya, hari ini.
Beliau diminta mengulas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyarankan pengharaman total terhadap penggunaan vape di negeri itu.
Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung didapati bermula dengan penggunaan vape.
Sebelum ini, Johor dilapor telah melaksanakan larangan menjual vape dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa Akta 852 menyediakan kerangka perundangan yang lengkap untuk mengawal selia seluruh rantaian bekalan vape termasuk aspek pendaftaran, penjualan dan penghantaran.
“Keputusan kementerian untuk kawal selia melalui Akta 852 adalah satu langkah perundangan yang lengkap dan sempurna. Kita mengambil sikap untuk mengawal selia dan tidak mengharamkan vape secara menyeluruh,” katanya, lapor Bernama.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pelbagai rakan strategik lain, melancarkan sambutan WAAW 2024 bertema ‘Educate. Advocate. Act Now.’
Sambutan tahun ini menekankan kepentingan pendidikan, advokasi dan tindakan segera dalam memerangi Kerintangan Antimikrob (AMR). Ia bertujuan meningkatkan kesedaran profesional kesihatan dan masyarakat awam berkaitan ancaman serius AMR.