20 NOV : Israel dilaporkan merompak hampir 100 lori yang membawa bantuan makanan untuk penduduk Palestin di Gaza, Sabtu lalu.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan perkara itu dan menyifatkan ia sebagai misi pemberian bantuan terburuk sepanjang 13 bulan ini.
Pegawai kanan kecemasan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Louise Wateridge berkatta konvoi lori yang membawa makanan disediakan UNRWA dan Program Makanan Sedunia (WFP) itu diarah Israel untuk berlepas dalam notis singkat melalui laluan lintasan sempadan Kerem Shalom.
Namun katanya, 98 daripada 109 lori konvoi itu diserang dan beberapa pemandu dilaporkan cedera.
Louise berkata insiden itu menunjukkan cabaran membawa masuk bantuan ke tengah dan selatan Gaza adalah sangat serius.
Tegasnya, tanpa campur tangan segera masalah kekurangan makanan yang melanda akan semakin parah dan menjejaskan lebih 2 juta nyawa di sana.
Sementara itu, jurucakap WFP turut mengesahkan kejadian rompakan itu dan memaklumkan banyak laluan di Gaza kini tidak dapat diakses akibat isu keselamatan.
Saluran TV Hamas Al-Aqsa yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri Hamas di Gaza melaporkan lebih 20 anggota samseng yang terlibat dalam rompakan lori bantuan itu terbunuh semasa operasi yang dijalankan oleh pasukan keselamatan Hamas dengan kerjasama jawatankuasa masyarakat.