20 NOV : Kerajaan yakin rakyat akan menilai prestasi pentadbiran negara secara adil berdasar kepada keseimbangan reformasi dalam semua perkara.
Namun Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak menolak kumpulan tertentu yang menilai reformasi itu dalam segmen tertentu sahaja.
“Saya yakin secara keseluruhan, masyarakat akan menilai Kerajaan Perpaduan secara adil berdasarkan keutamaan kami kerana jangkaan yang berbeza datang daripada segmen masyarakat berbeza.
“Jika hanya memberi tumpuan kepada satu segmen, mungkin kita akan dapat penilaian A daripada Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) tetapi F dalam perkara lain.
“Jadi fokusnya adalah untuk mengimbangi semua perkara dan reformasi adalah sebahagian daripada pakej keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Innovathon Musim ke-2, hari ini.
Semalam, Bersih memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara ekoran wujud jurang signifikan dari aspek kemajuan, progres dan tindakan ke arah pelaksanaan reformasi.
Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sudah pun memulakan beberapa reformasi utama, namun ia mengambil masa unguk dilaksanakan.
Agenda reormasi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang sedang berlaku mengikut garis masa tertentu.
“Seperti tumpuan terhadap reformasi ekonomi, pada bulan pertama (pentadbiran), saya masih ingat penganalisis dan media sangat kritikal kerana pada awalnya mereka mahukan kejelasan terutama dalam isu penyasaran semula subsidi dan sebagainya.
“Tetapi dengan cara yang sama, kerajaan mempertimbangkan banyak faktor dalam menyusun urutan reformasi dan apabila melihat beberapa hasil awal, pihak berkepentingan seperti pasaran, penganalisis dan masyarakat mula memberi sedikit kepercayaan kepada kerajaan.
“Jadi proses ini akan berterusan dengan cara yang sama dan ia akan membantu kami mengurus program reformasi dan mengimbangkannya,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) fasa kedua akan diumumkan secara terperinci selepas diluluskan Kabinet.
“Kita sudah ada mesyuarat minggu lepas dan rancangan mengenai garis masa (dan) pelaksanaan sedang dibincangkan. Perkara ini akan dibawa ke Kabinet dan apabila dipersetujui, barulah Kementerian Ekonomi boleh umumkan garis masa.
“Bila kerajaan buat keputusan tentang kriteria siapa yang layak, itu akan melibatkan pembukaan semula (pendaftaran) PADU fasa kedua kerana kita perlu bagi ruang kepada mereka yang belum mendaftar, untuk mendaftar,” katanya.