25 NOV : UMNO bakal memulakan sekolah politik untuk orang awam bermula awal tahun depan.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung, hari ini.
“UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan memfokuskan kepada ilmu-ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata kesemua ahli mesyuarat itu juga sepakat agar usaha memperkukuh dan mempererat hubungan dalam kalangan parti kerajaan terus dipertingkat.
“Kerajaan Madani yang genap 2 tahun Sabtu lalu terbukti menjadi formula ampuh berteraskan semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum dan agama perlu terus didokong dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.
“Ahli Mesyuarat bersepakat meminta supaya segala usaha untuk memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan di kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus dipertingkatkan,” katanya.
Selain itu, wakil-wakil UMNO dalam kerajaan termasuk yang memegang jawatan dalam agensi berkaitan kerajaan diminta terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengumumkan penggantungan keahlian terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik balik berkuat kuasa serta merta selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
Pada Jun 2022, beliau dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO kerana menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur kerana menganggap Presiden UMNO itu sudah menjadi liabiliti kepada parti.
Keahlian Tajuddin digantung pada September 2022 selama dua penggal atau enam tahun dan rayuannya ditolak pada Januari 2023.