28 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun pertimbangan ekonomi amat penting namun ia tidak akan mengurangkan atau mengekang pendirian Malaysia dalam menyuarakan tuntutan dan keadilan buat rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Beliau berkata sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian dalam isu-isu antarabangsa termasuk penindasan dan kezaliman di Gaza.
Mengambil hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata dari segi diplomatik ia masih baik dan kedua-dua negara meneruskan semua perkongsian komprehensif dan kerjasama termasuk pertemuan dengan pemimpin negara itu.
“Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat meningkat 29.1 peratus kepada RM264.28 bilion, peningkatan agak tinggi iaitu AS$57.76 bilion daripada RM204.78 bilion atau AS$45.09 bilion bagi tempoh sama 2023,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai adakah Malaysia menghadapi apa-apa risiko sekatan perdagangan dari Amerika Syarikat disebabkan kelantangan Perdana Menteri yang mempertahankan hak rakyat dan negara Palestin.
Bagaimanapun Anwar berkata Malaysia akan terus memantau perkembangan terbaharu dasar Amerika Syarikat.
“Kita juga bimbang dengan perkembangan-perkembangan terbaharu termasuk tindakan kenaikan tarif untuk Mexico, Kanada dan China, setakat ini kita pantau, ia tidak melibatkan isu dasar luar negara termasuk soal Gaza atau Palestin.
“Ia melibatkan soal imbangan bayaran antara kedua negara, ada berlaku defisit,” katanya, lapor Bernama.
Sebelum ini Presiden dipilih Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bakal mengenakan tarif import yang tinggi ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada serta tarif tambahan terhadap barangan dari China sebaik sahaja beliau kembali ke White House nanti.
Menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) sama ada Malaysia akan menimbangkan tindakan lebih tegas dengan mengikuti Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di bawah Konvensyen Genosid 1948, Anwar berkata Malaysia menghantar wakil sebagai tanda menyokong kes berkenaan.
Anwar berkata Malaysia tidak mempunyai kedudukan dan suara yang sama seperti Afrika Selatan untuk membawa kes ke mahkamah pengadilan antarabangsa kerana negara ini tidak menandatangani Statut Rom.
“Setakat ini Malaysia dalam soal Statut Rom…ada kekangannya kerana beberapa peruntukan dalam Statut Rom yang tidak boleh diterima sebahagaian masyarakat kita, terutama dalam dasar mempertahankan hak bumiputera, soal agama, serta LGBT dan ini juga telah ditimbulkan Majlis Raja-Raja.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata Malaysia telah menyuarakan pendirian tegas berkaitan isu Palestin termasuk di pentas antarabangsa seperti Sidang Kemuncak G20 dan dalam pertemuan empat mata dengan pemimpin negara-negara luar.