29 NOV : Angka mangsa banjir di tujuh negeri terus meningkat kepada 74,173 orang membabitkan 22,966 keluarga setakat jam 7.30 pagi ini.
Negeri yang terjejas membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 501 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di seluruh negara.
Jumlah mangsa banjir di Kelantan kekal tertinggi dengan 59,232 orang membabitkan 18,471 keluarga berlindung di 221 PPS di 10 daerah.
Di Terengganu, 11,870 mangsa banjir daripada 3,461 keluarga yang terjejas ditempatkan di 235 PPS di lapan daerah.
Sementara itu di Kedah, 2,237 mangsa banjir daripada 778 keluarga berlindung di 31 PPS di lima daerah dan di Negeri Sembilan pula 274 mangsa terjejas melibatkan 96 keluarga di dua daerah manakala 332 mangsa daripada 99 keluarga berada di empat PPS di tiga daerah di Perlis.
Di Selangor, angka mangsa terjejas meningkat kepada 159 orang membabitkan 39 keluarga manakala di Perak 69 mangsa terbabit daripada 22 keluarga.