2 DIS : Kerajaan menafikan wujudnya cukai tersembunyi ke atas harga runcit mingguan bahan api RON97 dan diesel seperti yang didakwa segelintir pihak.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menjelaskan harga mingguan bahan api tersebut dibuat mengikut kaedah apungan terkawal.
“Untuk makluman Yang Berhormat (YB), tiada caj tersembunyi seperti ditanya YB. Selaras pelaksanaan (penyelarasan) subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, penetapan harga runcit diesel secara mingguan dilakukan melalui apungan terkawal.
“Kita (kerajaan) memang pantau dengan rapi mengenai harga diesel dan memastikan kadar diputuskan memang mengikut standard,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengemukakan soalan tambahan berkait dakwaan kerajaan mengutip cukai tersembunyi susulan penetapan harga RON97 dan diesel dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
Namun, Hui Ying pada sesi itu menjelaskan penetapan kadar bagi kedua bahan api berkenaan tidak menggunakan formula APM.
Mengulas lanjut, Hui Ying berkata penyelarasan subsidi bagi diesel masih tidak dapat dilaksanakan di Sabah dan Sarawak susulan faktor geografi dan penggunaan bahan api itu dalam sebahagian besar kenderaan.
“Ini kerana sebahagian besar mod pengangkutan bagi melakukan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di dua wilayah ini menggunakan bahan api diesel.
“Tambahan, keadaan geografi dua wilayah ini juga mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme ‘fleet card’ yang memerlukan kemudahan infrastruktur lebih sesuai terutama di pedalaman.
“Bagaimanapun, kita masih dalam peringkat kajian untuk memastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi) mungkin dibuat pada masa hadapan tetapi memerlukan lebih masa untuk kajian,” katanya.
Malah beliau tidak menolak wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu namun ia sentiasa dalam perhatian kerajaan selain prlbsgsi libat urus dengan pihak berkenaan dan industri berkaitan dijalankan bagi mengatasi keadaan itu.
“Memang tak dinafikan bila melaksanakan sesuatu yang baharu, memang ada kelemahan. Kita akan memantau dari semasa ke semasa dan masih dalam libat urus dengan pihak berkenaan dan semua industri berkaitan.
“Jika ada apa-apa penambahbaikan, kita tentu akan lakukan. Namun, buat sementara kita masih…dari Jun lalu hingga kini (tempoh pelaksanaan penyasaran subsidi diesel) adalah kurang enam bulan.
“Jadi kita akan terus pantau pelaksanaan diesel bersubsidi dan terus membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.