6 MEI: Bersatu tidak akan sesekali terjerat semula dalam genggaman PH, tegas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
Menjelaskan perkara itu, katanya pengalaman selama PH memerintah negara selama 22 bulan lalu cukup mengajarnya dan ahli Bersatu lain untuk tidak lagi bersekongkol dengan parti yang dikuasai DAP.
“Penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional antaranya adalah untuk mengubati duka lara rakyat yang kecewa dengan pemerintahan kerajaan PH selama 22 bulan. Kerajaan PH didapati gagal memimpin negara malah banyak membuat kenyataan dan tindakan yang merugikan negara dan rakyat.
“Kini, majoriti rakyat di negara ini amat bersyukur kerana mereka sudah dapat melihat satu pola kepimpinan yang meyakinkan dengan barisan pentadbiran yang berpengalaman.
“Jadi apakah mungkin Bersatu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin akan berpatah balik menyertai PH? Sudah tentu tidak masuk akal,” ujarnya.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini menyifatkan parti itu perlu kembali bersama PH berbanding Perikatan Nasional berikutan kedudukan kerjasama politik tidak menentu antara Bersatu, UMNO dan PAS.
Namun bidas Shabudin sepatutnya Mukhriz perlu sedar dengan signal rakyat yang menolak DAP dalam sesebuah gabungan mahupun pemerintahan.
“Beliau boleh bersama PH jika mahu tetapi tidak boleh menyeret Bersatu kerana keputusan Bersatu keluar daripada PH adalah secara pilihan majoriti pimpinan Bersatu.
“Seperkara lagi ialah Mukhriz tidak peka langsung dengan signal rakyat yang menolak DAP. Menyertai semula PH bermakna mendakap semula DAP yang terang-terangan melakukan kerosakan terhadap kerajaan yang mereka terajui lebih 20 bulan lalu,” jelasnya.
Maka atas sebab kukuh itu Shabudin berkata Bersatu tidak akan kembali kepada PH demi kepentingan dan jaminan kesejahteraan rakyat daripada drama politik yang tidak tentu arah. – Oleh ASLINDA NASIR