3 DIS : Pertukaran dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak menjejaskan kerjasama politik yang berjalan pada masa ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menjangkakan, pelantikan Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi baharu PH Sabah akan mengeratkan lagi kerjasama politik tersebut.
“Tahniah kepada beliau (Datuk Ewon Benedick) kerana sudah jadi pengerusi dan kita harap hubungan kerjasama dan perpaduan antara parti-parti di Sabah ini terutama PH dan GRS akan terus mantap.
“Dalam PH mereka adalah pemimpin yang kita (GRS) kerjasama sebelum ini jadi kita teruskan usaha ini.
“Jadi tahniah Datuk Ewon yang mempimpin satu kumpulan atau gabungan PH dan dalam PH itu ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Amanah. Campur dengan GRS kita ada banyak parti jadi kita rapatkan kerjasama ini untuk kebaikan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Transformasi Sulaman, Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan serta Pelancaran Aplikasi dan Buku Retrack di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dilantik menjawat sebagai Pengerusi PH Sabah penggal 2024 hingga 2026 bagi menggantikan Datuk Seri Christina Liew.
Christina sebelum ini tewas dalam pemilihan selepas memimpin PH Sabah sejak tiga penggal lalu.