5 DIS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform seperti Meta, Telegram dan TikTok telah menangani 2,444 laman sesawang dan kandungan berunsur pelacuran sejak Januari 2022.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata jumlah itu melibatkan sekatan ke atas 279 laman sesawang, selain penurunan 2,165 kandungan berunsur pelacuran di pelbagai platform media sosial.
Beliau berkata penurunan kandungan yang tertinggi adalah melibatkan platform Facebook iaitu 46.84 peratus diikuti TikTok (30.44 peratus) dan Telegram (21.20 peratus).
“Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang dilakukan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang berdasarkan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai yang diterima MCMC.
“Namun keputusan muktamad penurunan kandungan tertakluk kepada pertimbangan penyedia perkhidmatan berdasarkan penilaian standard komuniti yang telah ditetapkan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini, lapor Bernama.
Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai perancangan kerajaan dalam membanteras budaya ‘dark side’ dan apakah tindakan yang akan diambil terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti di platform X dan Telegram.
Beliau berkata penguatkuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang diambil MCMC adalah tindakan sokongan kepada undang-undang sedia ada seperti Seksyen 372A, 372B dan 373 Kanun Keseksaan (Akta 574) di bawah bidang kuasa polis bagi menangani aktiviti pelacuran dalam talian.
“MCMC memberikan bantuan teknikal melibatkan pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan dan membantu pihak berkuasa mengumpulkan bukti yang diperlukan.
“Selain itu antara inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam memastikan penyedia perkhidmatan media sosial lebih agresif mengenal pasti trend aktiviti jenayah siber termasuk pelacuran adalah menerusi keperluan pelesenan ke atas penyedia perkhidmatan berkuat kuasa Januari depan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Bobbey mengenai sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk meletakkan had umur kepada pengguna media sosial, Fahmi berkata kerajaan akan memastikan penyedia platform memberi penjelasan dan penegasan dalam aspek itu selaras pelaksanaan pelesenan kelak.
“Penyedia platform ini ada garis panduan masing-masing, hampir semua kecuali WhatsApp letak syarat umur minimum 13 tahun, jadi di peringkat kerajaan kita mulakan dengan proses pelesenan nanti untuk pastikan platform ini, apakah cara mereka sahkan umur pengguna itu,” katanya.
Beliau pada masa sama menekankan aspek kesedaran awam dengan menasihati golongan ibu bapa untuk tidak menormalisasikan anak-anak di bawah usia 13 tahun untuk membuka atau memiliki akaun media sosial.