8 DIS : Sumbangan banjir peringkat pertama dari Pakistan untuk rakyat Malaysia selamat mendarat di Terminal MASKargo, Sepang, hari ini.
Pesawat kargo khas itu tiba kira-kira jam 4.30 petang tadi setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad jam 5.30 pagi (waktu Pakistan).
Pesawat itu membawa 40 tan barangan meliputi selimut, khemah keluarga, beg tidur, jaket keselamatan dan tikar.
Terdahulu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menzahirkan hasrat untuk menghantar sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di negara ini sebagai tanda solidariti dan kebersamaan dua negara.
Hasrat itu disuarakan Shehbaz melalui perbualan telefon 30 November lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata Pakistan menyampaikan 80 tan sumbangan dengan penghantara peringkat kedua akal tiba di sini Rabu ini (11 Disember).
Menurutnya, kaedah pengagihan sumbangan berkenaan akan diputuskan pada mesyuarat koordinasi diadakan.
“Hal itu belum diputuskan lagi, sebenarnya negara belum habis (bencana), baru mula. Kita jangka ada lebih lagi episod bencana berlaku, kita akan tengok keadaan nanti. Buat masa ini, semua barangan ini akan ditempatkan di depoh simpanan sebelum diagihkan kepada mangsa bencana,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah berkata bantuan yang dihantar negaranya itu mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Sebaik saja Perdana Menteri Pakistan tahu mengenai banjir yang menjejaskan enam atau tujuh negeri dan terdapat banyak kerosakan harta benda serta nyawa, beliau bercakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya untuk menyampaikan simpati serta dukungan kerajaan dan rakyat Pakistan, tetapi juga berhasrat untuk mengambil bahagian dalam sokongan ini.
“Sumbangan ini tanda sokongan kecil kami kepada saudara di Malaysia untuk membantu Kerajaan Malaysia dalam usaha memberi bantuan kepada negeri-negeri yang terjejas sehingga mengalami banyak kerugian,” katanya, lapor Bernama.
Pada masa sama, Syed Ahsan mengucapkan penghargaan atas kerjasama daripada agensi negara terutama Wisma Putra dan NADMA atas sokongan tidak berbelah bahagi.
“Sudah tentu setiap kali perkara sebegini berlaku di Pakistan, bencana alam, kami sentiasa menerima bantuan daripada saudara di Malaysia. Hari ini ialah bantuan kecil kami yang mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara dan berterima kasih atas sokongan itu,” katanya.
*Foto: Bernama