9 DIS : Jabatan Peguam Negara (AGC) menyeru semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak membuat kenyataan yang subjudis susulan pelbagai kenyataan dibuat berkait titah adendum.
Melalui satu kenyataan hari ini, AGC berkata rayuan dan notis usul berhubung titah adendum itu masih belum diputuskan oleh mahkamah.
“Mahkamah Rayuan telah menetapkan pendengaran bagi rayuan Datuk Seri Najib Razak (perayu) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan perayu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum pada 6 Januari 2025.
“Sehubungan itu semua pihak adalah dipohon untuk menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat subjudi memandangkan rayuan dan notis usul tersebut masih belum diputuskan mahkamah,” kata AGC dalam kenyataan itu.
Minggu lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan notis usul untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum.
Dokumen tersebut didakwa diterima anak sulung Najib, Datuk Nizar dari Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.
Najib memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan titah adendum yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.