10 DIS : Kerajaan akan mengumumkan pengelasan baharu pendapatan rakyat untuk penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.
Ini termasuk pengelasan bagi rakyat berpendapatan tinggi atau T15 yang masih belum ditetapkan setakat ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pengumuman itu akan memberi ruang untuk mereka yang masih belum mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk berbuat demikian
Malah mereka yang sudah berdaftar namun tidak layak juga boleh membuat rayuan.
“Akan ada mekanisme untuk rayuan, jadi perkara ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan di stesen minyak kelak.
“Jadi sebab itu tempoh separuh tahun pertama 2025 adalah bagi pelaksanaan (penentuan pengelasan) itu perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai pelaksanaan subsidi petrol RON95 dan langkah kerajaan dalam membantu golongan yang terkesan.
Menurut Rafizi penyasaran subsidi RON95 itu akan mengambil kira aspek pendapatan boleh guna bersih dengan 85 peratus rakyat dijangka layak mendapat subsidi berkenaan.