10 DIS : Kira-kira 25,000 peluang pekerja ditawarkan dalam industri rel yang perlu dimanfaatkan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gaji sekurang-kurangnya RM3,000 ditawarkan untuk lepasan institusi TVET termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Kesempatan ini diambil oleh UniKL untuk menerobos bidang baharu yang selama ini dikuasai oleh pihak luar.
“Saya memberi penekanan bahawa gaji premium bagi lepasan UniKL dan institusi TVET lain dalam bidang rel ini dengan syarikat terlibat adalah minimum RM3,000, yang boleh meningkat kepada RM5,000 hingga RM7,000 atau lebih bergantung kepada kepakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kembali Kereta Api Kelas SCS 92 yang dipulihkan di bawah projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Pengubahsuaian (MRO) oleh M Rail Technics Sdn Bhd (RAILTEC) di Depoh EMU, Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata UniKL terlibat secara langsung dalam melatih tenaga profesional dan teknikal vokasional dalam semua bidang termasuk MRO kapal terbang, kereta api dan kapal laut, termasuk pembikinan kapal.
Menurutnya, kini TVET tidak lagi terhad hanya kepada bidang konvensional tetapi juga berkemahiran teknologi.
“Kita tahu bahawa ada The East Coast Rail Link (ECRL)…akan datang akan ada Kuala Lumpur-Singapura High Speed Rail (HSR), ia menyamai bidang ini, kita masih belum mendapat ketentuan siapa akan peroleh kontrak itu tetapi, UniKL sanggup bekerjasama dengan semua pihak diberikan tugas operasi projek tersebut nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggalakkan lebih ramai pelajar Maahad Tahfiz di negara ini untuk menyertai bidang TVET termasuk memenuhi keperluan teknikal industri rel.
“Sebagai contoh, dalam sektor penerbangan, kita bangga dengan kejayaan Norazian Mohd Sobri, seorang hafizah dan lepasan Madrasah Hasanah serta UniKL MIAT, yang kini berjaya sebagai jurutera penerbangan di Thales Singapura,” katanya.