12 DIS : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan perpindahan RM14.5 bilion ke dalam Akaun Fleksibel melibatkan 4.1 juta ahli di bawah umur 55 tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata RM6.6 bilion lagi simpanan dipindahkan ke dalam Akaun Persaraan.
“Setakat 27 November 2024, seramai 4 juta atau 30.5 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP telah membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.
“Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November 2024,” katanya dalam sesi soal jawab, di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan yang membangkitkan jumlah pencarum KWSP yang memindahkan caruman daripada Akaun 1 ke Akaun 3 dan jumlah pencarum serta caruman yang sudah dikeluarkan daripada Akaun 3, setakat ini.
Menurut Amir Hamzah, KWSP menjangkakan pengeluaran Akaun Fleksibel bagi tahun-tahun mendatang sekitar RM5 bilion hingga RM7 bilion setahun mengambil kira trend pengeluaran tahun ini.
Jelasnya, angka itu adalah minimum jika dibandingkan dengan pertumbuhan dana pelaburan KWSP yang meningkat RM100 bilion hingga 120 bilion setahun daripada penjanaan pendapatan pelaburan serta aliran masuk caruman bersih yang diterima daripada ahli.
“Jangkaan pengeluaran ini juga adalah jauh lebih rendah berbanding peruntukan baki tunai berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) pada julat dua sehingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP bersamaan sekurang-kurangnya RM25 bilion,” katanya.