15 DIS : Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dipecat selepas ahli Parlimen republik itu mengundi usul pemecatannya pada Sabtu.
Daripada 300 ahli Parlimen yang hadir hanya 85 undi menolak usul manakala 204 menyokong dan tiga lagi berkecuali serta lapan undi terbatal.
Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan perlu membuat keputusan terhadap undian itu dalam tempoh 80 hari dan Yoon digantung tugas sementara menanti pengumuman tersebut.
Jika Yoon dipecat, beliau akan menjadi presiden kedua yang dipecat selepas bekas Presiden Korea Selatan, Park Chung Hee yang dipecat Parlimen pada 2016 dan kemudiannya dipenjara 25 tahun kerana rasuah.
Pada lewat 3 Disember lalu, Yoon mencetus suasana tegang apabila mengisytiharkan darurat namun dibatalkan beberapa jam kemudian selepas 190 ahli sebulat suara mengundi untuk menyekat perisytiharan undang-undang tentera itu.
Menurut laporan Agensi, Perdana Menteri Korea, Han Duck-soo akan mengambil alih tugas Yoon sementara menunggu keputusan mahkamah.
Sementara itu, Yoon dalam satu rakaman video yang dirakam di kediamannya berkata akan terus melakukan yang terbaik demi negaranya hingga ke penamat.
“Walaupun perjalanan saya terhenti buat sementara waktu, perjuangan saya untuk masa depan bersama rakyat sepanjang dua setengah tahun lepas tidak sepatutnya berakhir.
“Saya akan membawa bersama saya segala kritikan, dorongan dan sokongan yang telah saya terima, dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk negara sehingga ke penamat,” katanya, lapor agensi berita Yonhap.
Sekurang-kurangnya 200,000 rakyat negara itu berkumpul di luar Parlimen untuk menyokong penyingkiran Yoon.