16 DIS : Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim 1446H/2025M kekal RM33,300 seorang.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata pihaknya berusaha mengawal kos ibadah itu untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meski berdepan cabaran peningkatan harga minyak.
Katanya, pembangunan pesat di Makkah dan Madinah mencetus peningkatan harga penginapan dengan mendadak.
“Namun TH berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal,” katanya pada sidang media khas di ibu negara, hari ini.
Bayaran haji bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 ditetapkan pada RM15,000 seorang berbanding RM12,356 pada 2024.
Katanya, TH memberi Bantuan Kewangan Haji RM17,300 seorang untuk musim 1446H/2025M dan ditambah RM1,000 bantuan daripada kerajaan.
“Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000,” katanya.
Sementara itu katanya, bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos haji.
“Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500,” katanya.
Bagi kumpulan T20 yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu membayar penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
Dalam pada itu, surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.
Katanya, setiap bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji serta lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran.