16 DIS : Malaysia akan meneruskan kerjasama baik dengan Thailand bersama pentadbiran baharu kerajaan pimpinan Paetongtarn Shinawatra.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya sentiasa memberi tumpuan terhadap sebarang perkembangan pembangunan melibatkan sempadan negeri Kelantan dan Selatan Thailand itu.
“Kerjasama baik dengan bekas Perdana Menteri Srettha (Thavisin) di Bangkok dan Phuket, Thailand serta Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang menunjukkan rekod hubungan dua hala yang menakjubkan dan tidak pernah dilihat sebelum ini.
“Pastinya kemajuan yang sangat banyak dalam aspek road alignment, ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Bukit Kayu Hitam dan CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) Sadao juga pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang dengan Sungai Golok.
“Ini akan meningkatkan kerjasama dan menyelesaikan banyak isu termasuk pengurusan air dan mitigasi banjir di Sungai Kelantan dan Sungai Golok di kawasan Selatan Thailand dan Utara Malaysia khususnya di Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand itu di Putrajaya, hari ini yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari.
Selain itu, kedua-dua pemimpin tersebut turut sepakat dalam beberapa isu utama termasuk meningkatkan pelaburan intra-ASEAN dan nilai perdagangan kepada AS$30 bilion (RM133.81 bilion) menjelang 2027.
“Kami bersetuju menyokong usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan pelaburan bersama. Menteri Pelaburan dan Perdagangan kedua-dua negara sudah menetapkan sasaran AS$30 bilion menjelang 2027.
“Sasaran ini nampak sangat bercita-cita tinggi, tetapi memandangkan potensi ekonomi yang besar di Thailand dan Malaysia, ia adalah sesuatu yang perlu diusahakan bersama,” kata Anwar.
Mengenai Laut China Selatan, kedua-dua pemimpian bersetuju menghormati Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) iaitu mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.
Dalam pada itu, Anwar juga menzahirkan penghargaan kepada Thailand yang memberi sokongan kepada penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN yang dijangka akan dimuktamadkan Mei tahun depan.
Sebelumnya, Paetongtarn diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Paetongtarn kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan perjumpaan dengan Anwar di bawah kerangka kerja Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand (AC) ke-tujuh.