DRB-Hicom, Geely pimpin pembangunan automotif : PM
16 DIS : Kerajaan berharap kerjasama terjalin antara DRB-Hicom Bhd dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) akan terus memimpin pembangunan kecekapan automotif di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga berhasrat agar kerjasama itu akan terus menyokong ekonomi negara.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan berhasrat agar kerjasama ini terus menyokong ekonomi dan rakyat Malaysia. Kerajaan akan terus menyokong kerjasama seumpama ini kerana memberi impak positif kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan kereta elektrik (EV) pertama Malaysia, Proton e.MAS 7 di ibu negara, hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar berkata kejayaan kerjasama itu menjadi contoh cemerlang tentang peluang yang wujud antara Malaysia dan China.
“Saya yakin dengan pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, lebih ramai vendor tempatan akan terbabit dalam pengeluaran bukan sahaja kereta Proton, tetapi juga jenama lain.
“Ini akan menjadi contoh cemerlang peluang rangkaian dan kerjasama ekonomi yang telah wujud antara China dan Malaysia selama lebih 50 tahun. Saya memuji kedua-dua pihak atas kreativiti dan ketekunan mereka dalam menjayakan kerjasama ini,” katanya.
Menteri Kewangan itu berkata pelancaran EV pertama negara itu bertepatan dengan masanya susulan Malaysia mensasarkan pengurangan pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan.
“Justeru, pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) EV pertama Proton hari ini sangat tepat pada masanya kerana ia akan menjadi pemangkin untuk membawa kita ke era seterusnya dalam mobiliti rendah karbon,” katanya.