17 DIS : Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra bakal menjadi jambatan penghubung memperkukuh kerjasama antara rantau ASEAN dengan kuasa besar global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata meski lantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi bagi membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan namun beliau adalah figura yang berpengaruh dan diterima baik Amerika Syarikat (AS) dan rapat dengan China.
“Peranannya sebagai penasihat adalah tidak rasmi, namun Thaksin memiliki pengaruh besar di Thailand dan diterima oleh Amerika Syarikat, selain mempunyai hubungan erat dengan China. Oleh itu, beliau dapat menjadi jambatan penghubung untuk ASEAN.
“Personaliti seperti Thaksin dan beberapa individu lain bukanlah sebahagian daripada kumpulan formal, mereka hanya rakan lama dan kenalan lama Perdana Menteri Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dan Perdana Menteri boleh berbincang serta mendapatkan pandangan mengenai bagaimana ASEAN harus terus maju ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada media dalam pertemuan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di ibu negara, malam tadi.
Semalam, pelantikan Thaksin itu diumumkan Anwar pada sidang media bersama Perdana Menteru Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang juga anak Thaksin di Putrajaya.
Menurut Mohamad berkata nama tokoh-tokoh lain akan diumumkan kemudian bagi peranan sama.
Namun beliau menjelaskan lantikan tidak rasmi itu bukan penasihat kepada pengerusi ASEAN tetapi kepada Anwar sendiri.
“Ini bukan sebagai penasihat kepada pengerusi ASEAN, tetapi sebagai penasihat kepada Perdana Menteri selaku pengerusi ASEAN. Ia bukan penasihat yang berasaskan ASEAN, jadi bukan kumpulan formal atau segmen baru dalam ASEAN,” katanya.
Malaysia secara rasmi akan menjawat sebagai pengerusi ASEAN pada 1 Januari ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.