18 DIS: Malaysia berada dalam kapasiti yang tinggi untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber dan ia bakal memberi impak positif sepanjang tempoh Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim usai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada Selasa.
“Selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025, saya dimaklumkan mengenai penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 dan penyediaan Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) yang baharu bagi mengukuhkan strategi serta inisiatif berkaitan keselamatan siber negara,” katanya melalui hantaran di Facebook, malam tadi.
Selain itu, katanya JKSN turut bersetuju Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menerajui Pusat Kriptografi Negara.
“Jawatankuasa ini menyokong usaha NACSA untuk terus meneraju insiatif pengukuhan keselamatan siber negara terutamanya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
“Mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang dimulakan di Universiti Putra Malaysia dan turut membuka ruang kepada penyelidik-penyelidik daripada universiti lain untuk turut terlibat,” katanya.
Menurutnya, pusat itu perlu inklusif dengan penglibatan pakar, intelektual dan sektor swasta yang mampu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi kriptografi.
“Kita tidak ketandusan pakar dalam bidang ini namun harus memastikan terdapat kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri serta keutamaan memelihara ekosistem keselamatan siber negara,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan beliau menyokong agar satu rang undang-undang jenayah siber digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997.