18 DIS : Malaysia akan terus mengadakan kerjasama erat dengan China bagi memastikan sasaran untuk mencapai kemajuan bersama terlaksana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia termasuk memberi fokus terhadap langkah pengagihan kekayaan saksama, meningkatkan kemahiran rakyat serta membasmi kemiskinan.
Menurut Ahmad Zahid, kejayaan China dalam membasmi kemiskinan serta pemulihan kawasan luar bandar dengan mengeluarkan lebih 800 juta rakyatnya daripada kemiskinan tegar wajar diberi pujian dan dicontohi.
“Kita telah menyaksikan bagaimana China memfokus kepada langkah membangunkan wilayah tengahnya dengan mewujudkan peluang pekerjaan, menambah baik infrastruktur dan memupuk industri baharu. Pelaburan yang besar juga telah dibuat dalam infrastruktur, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan penting lain bagi memastikan pembangunan mampan.
“Aspek utama strategi ini ialah menangani cabaran susulan migrasi dari luar bandar ke bandar yang begitu meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan penutupan Persidangan Kepimpinan bertajuk Charting the Future: Malaysia-China Beyond 50 Years di Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 yang dibaca oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata kerjasama antara Malaysia dan China turut merangkumi pendidikan dan tenaga kerja.
Katanya, sebanyak 220 syarikat China menawarkan lebih 5,000 penempatan latihan untuk pelajar Malaysia setakat ini.
“Kesemua program ini, yang merangkumi tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang, memfokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Perkongsian itu, yang dirasmikan melalui satu MoU (Memorandum Persefahaman) dengan Beifang Automotive Education Group dan Tang (M) International Education Group pada awal tahun ini, bersedia untuk merevolusikan keupayaan Malaysia dalam sektor seperti automotif, semikonduktor, automasi, Internet Pelbagai Benda dan keselamatan siber,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata kerjasama kedua-dua negara ini juga mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara dengan mempersiapkan generasi muda Malaysia dengan kemahiran serta keyakinan yang diperlukan untuk mendapat pekerjaan yang bermakna.