19 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pemilik akaun Tiktok berhubung kandungan berunsur penghinaan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata penahanan pemilik akaun Tiktok @ryanwong_5845 atau nama sebenarnya Rayyan Wong dilakukan susulan laporan yang dibuat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan yang dimuat naik di akaun berkenaan.
Katanya, pemuda tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi diraja bagi membangkitkan kebencian serta provokasi.
“Suspek berusia 22 tahun itu didapati membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap institusi diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.
“Pegawai MCMC melihat kandungan terbabit yang dimuat naik pada jam 4.30 petang oleh pemilik akaun Tik Tok terbabit di aplikasi Tik Tok.
“Siasatan masih dijalankan dengan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Razali memaklumkan polis turut merampas telefon pintar jenis Galaxy Z Flip5 milik suspek.
Terdahulu, pemilik akaun Tiktok @ryanwong_5845 memuat naik kenyataan mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim; Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim makan di sebuah restoran di Johor Bharu yang tidak mempunyai sijil halal.
Bagaimanapun, pemilik akaun terbabit mengeluarkan permohonan maaf atas tindakannya mengeluarkan kenyataan tersebut.
“Saya minta maaf tentang kenyataan makan di restoran tiada sijil halal rupanya ia ada. Minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut,” katanya.
Pada 16 Disember lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan kementeriannya sedang menyiasat sejumlah kandungan di media sosial yang didapati berunsur menghina Yang di-Pertuan Agong.
Jelas Fahmi, ia termasuk kes membabitkan seorang individu yang memfitnah Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri baru-baru ini yang sudah pun meminta maaf.