19 DIS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) bersama Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) bagi tujuan menyokong perlaksanaan program bandar pintar di Bandaraya Ipoh.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata kerjasama tersebut termasuklah mempertingkatkan infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau di Ipoh.
“Kerjasama antara MCMC dan DPCH merupakan permulaan yang positif kepada usaha pemerkasaan program bandar pintar yang bakal memberi manfaat kepada penduduk Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama majlis menandatangani MoU tersebut pada Perak Economik Outlook 2025 di Ipoh, hari ini.
Pertukaran MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, Suhami Tahir yang disaksikan Fahmi dan Meneteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata menerusi MoU tersebut, perlaksanaan penerokaan kerjasama berkaitan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak bakal dilakukan dengan menyasarkan penglibatan komuniti setempat di kawasan NADI.
Selain itu, katanya liputan internet di Perak akan dipertingkat bagi menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam peneyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi yang dipersetujui menerusi MoU tersebut.
“MCMC juga akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH berkaitan keselamatan siber, pencegahan penipuan dalam talian, infrastruktur digital serta liputan dan jaringan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama antara MCMC dan DPCH membuktikan dalam pendekatan kolaboratif adalah langkah terbaik dalam memacu inisiatif-inisiatif tersebut.
“Inisiatif-inisiatif yang saya sebutkan tadi amat penting untuk menjadikan bandaraya Ipoh sebuah bandar raya yang bukan sahaja lestari,malah juga efisien dan inovatif,” katanya.