19 DIS: Kementerian Komunikasi akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menghubungi pengendali TikTok susulan terdapat aduan mengenai kerisauan pengguna yang kehilangan wang menerusi akaun e-dagang platform tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kementeriannya akan mendapatkan maklumat berkenaan hal tersebut bagi mengetahui punca sebenar sebelum sebarang tindakan dilakukan.
“Kita sedar ramai rakyat Malaysia termasuk mereka yang terbabit dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS ) memanfaatkan platform seperti TikTok untuk berniaga.
“Kalau ada satu trend yang merisaukan seperti yang dimaklumkan, saya akan minta pihak MCMC berhubung dengan TikTok untuk mengenal pasti apa masalahnya dan kita cuba fahamkan dulu sebelum sebarang tindakan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) bersama Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) pada Perak Economik Outlook 2025 di Ipoh, hari ini.
MoU tersebut ditandatangani bagi tujuan menyokong perlaksanaan program bandar pintar di Bandaraya Ipoh.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan dakwaan pengguna TikTok yang memaklumkan wang dalam akaun jual beli e-dagang atau TikTok Shop hilang atau berkurangan daripada jumlah asal tanpa sebarang transaksi.
Sementara itu, mengulas mengenai MoU tersebut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kolaborasi bersama DPCH merupakan inisiatif kerajaan dalam menjadikan bandaraya Ipoh sebuah bandar raya yang lestari, efisien dan inovatif.
“Awal tahun ini, program perintis seperti Masyarakat Tanpa Tunai dan Program Pendigitalan Usahawan telah dilancarkan, termasuk pengenalan kepada S.M.A.R.T Niaga@Perak, iaitu platform e-dagang bagi perusahaan kecil dan sederhana yang dipacu Digital Perak.
“Kolaborasi bersama MCMC akan menggiatkan program sebegini dengan inisiatif baharu seperti Pusat Kawalan dan Pemantauan Negeri Perak, projek Smart Forest membabitkan sambungan jalur lebar di kawasan hutan simpan dan ekopelancongan serta penubuhan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Negeri Pintar,” katanya.
Fahmi memaklumkan pelancaran program-program tersebut disasarkan bermula pada awal 2025 dan disiapkan seawal 2026.