19 DIS : Seramai 44,139 pesawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 Tahun 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementeriannya memperuntukan RM26.48 juta bagi membantu pesawah terlibat.
Katanya, pesawah yang layak menerima RM200 sebulan yang diagihkan untuk tempoh tiga bulan atau satu musim penanaman padi.
Menurutnya, sumbangan itu adalah skim bantuan khusus untuk golongan pesawah padi yang berdaftar dengan agensi yang dilantik kementerian.
“Kita harapkan bantuan ini dapat membantu meringankan beban pesawah yang menghadapi kesan perubahan cuaca yang tidak menentu…apa yang berlaku ini bukan saja dihadapi negara kita tetapi juga negara maju.
“Cuma kalau di negara seperti Amerika Syarikat itu dia ada teknologi canggih dari sudut amaran awal, kita pun ada amaran awal misalnya gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku 9 hingga 14 Disember, memang hujan lebat turun di utara dan Pantai Timur tetapi tidak sehebat sebelum itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ihsan MADANI – Penyerahan BKST Fasa 2 tahun 2024 di Jerlun, hari ini.
Pada majlis tersebut, 250 pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerpan, PPK Kubang Sepat, PPK Jerlun dan PPK Kuala Sungai menerima bantuan BKST Fasa 2 .
Sementara pesawah lain yang layak akan menerima bantuan itu melalui akaun bank masing-masing mulai minggu hadapan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata wang ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah lebih RM10.48 juta akan disalurkan kepada 4,854 orang pesawah MADA.
Jelasnya, bantuan TBTP itu disalurkan kepada pesawah yang terjejas akibat banjir di kawasan MADA melibatkan kawasan seluas 5,976 hektar pada September dan Oktober lalu.
Menyentuh soal Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), Mohamad berharap lebih ramai pesawah akan berdaftar di bawah skim itu.
Ia susulan katanya, hanya sekitar 20 peratus pesawah MADA yang berdaftar setakat ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata pesawah yang mendaftar dengan skim itu akan dilindungi jika tanaman terjejas akibat bencana, penyakit dan perosak.
“Pesawah yang berdaftar akan dibantu Agrobank yang akan terus memberi bantuan kepada mereka, caruman awal dibuat sendiri oleh bank, pesawah hanya perlu mendaftar menerusi PPK dan cawangan Agrobank,” katanya.