20 DIS : Kerajaan bersetuju memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang mulai 1 Januari, tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif kerajaan itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 40 pengusaha perkhidmatan tersebut.
Katanya, pengusaha terbabit termasuk perkhidmatan feri RORO di pulau utama negara boleh menikmati ubsidi diesel pada harga siling ditetapkan RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi sebanyak 50 sen seliter.
Ia juga melibatkan pengusaha di laluan strategik perkhidmatan seperti Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang.
“Pemberian subsidi ini adalah sejajar dengan usaha keperihatinan Kerajaan MADANI untuk memastikan kelangsungan dan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam.
“Subsidi ini dijangka memberikan impak yang positif kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta feri RORO dengan mengurangkan bebanan kos operasi khususnya membabitkan kos bahan bakar,” katanya.
Ahad lalu, Loke melahirkan rasa kesal dengan tindakan pengusaha feri yang mengumumkan kenaikkan kadar tambang secara terburu-buru.
Justeru itu, beliau memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri yang enggan menarik balik kenaikan tambang itu tidak layak menerima subsidi diesel.
Beliau mengulang amaran sama pada sidang media hari ini dan menegaskan kerajaan akan memantau harga tambang tersebut.
“Mereka akan dikecualikan atau tidak diberi bantuan subsidi diesel jika mereka naikkan kadar tambang. Jika mereka mahu bantuan ini yang akan meringankan beban mereka, mereka perlu pastikan tidak naikkan tambang. Kita akan pantau,” katanya.
Mengulas lanjut, Loke berkata pengusaha yang layak perlu mematuhi syarat bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel termasuk berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan pihak berkuasa.
Selain itu, pengusaha perlu mengemuka permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
”Tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada setiap bulan.
“Ia perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia ke Kementerian Kewangan serta satu salinan kepada stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan bagi bulan berikutnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru pengusaha agar meningkatkan kualiti perkhidmatan dan aspek keselamatan.